AWALUDIN Makrifatullah (Awal agama mengenal Allah) adalah intidasar utama dan pertama yang seharusnya ditekankan dalam mendidik anak-anak, kata Dr. Azizan Ahmad.
"Kita hendaklah mendidik anak-anak mengenal Allah sebelum kenal yang lain," kata beliau dalam ceramah umum bertajuk "Pendidikan Anak-Anak Berdasarkan Surah Luqman".
Setiausaha Agung HALUAN itu berkata, jika kita mengajar anak kita mengenal Allah mereka akan menjaga semua perkara dengan baik. Contohnya dalam bab menjaga kebersihan, anak-anak kita tidak membuang sampah merata-rata kerana telah dididik dengan sifat Allah Maha Melihat dan mereka menyedari bahawa mereka sentiasa diperhatikan Allah.
"Apakah perkara penting untuk ditanam dalam diri anak-anak?" Ayat 12 Surah Luqman menyebutkan mengenai hikmah. Menurut Ibnu Kathir hikmah yang dimaksudkan di sini adalah al-Quran. Selain daripada wahyu Allah dan sunnah Rasulullah saw, bahan lain tidak mampu mendidik manusia, kata beliau.
"Pelajaran pertama kepada anak ialah mentauhidkan Allah dan tidak mensyirikkan-Nya."Bagaimana hendak mengajar anak beriman kepada Allah?" Ibnu Kathir berkata dengan mengajar mereka ayat-ayat dari surah Makkiah, iaitu surah yang diturunkan pada zaman dakwah Nabi Muhammad SAW di Makkah, kata Dr Azizan Ahmad.
Antaranya dengan mengajar anak mengetahui bahawa Allah yang menciptakan bintang, bulan, matahari dan segala apa yang ada di langit dan di bumi. Misalnya dengan memberitahu mereka, "Inilah bintang yang dicipta Allah. Semuanya dicipta Allah."
"Hari ini anak-anak tidak diajar tentang kebesaran Allah. Sebaliknya anak-anak kita disibukkan dengan rangkaian cerita kartun, artis pujaan, filem-filem barat dan fesyen masakini. Sepatutnya sejak dari kecil anak-anak kita dididik mengenal Penciptanya.
Ketika duduk di depan nasi mereka perlu diingatkan tentang Allah, mengajar mereka membaca doa apabila hujan turun dan bertanya soalan seperti:"Siapa yang bagi kamu makan – Allah. Siapa yang bagi kamu cemerlang dalam peperiksaan – Allah," jelasnya, dengan menambah ramai antara ibu bapa yang keliru apakah perkata utama dalam mendidik anak-anak.
Dr. Azizan berkata, suasana hari ini melahirkan manusia yang lupa dari mana dia di datangkan. Lantas bertindak sewenangnya hidup di muka bumi dan akhirnya menimbulkan masalah kepada masyarakat. Manusia kehilangan sifat Ihsan iaitu sentiasa merasa Allah berada di mana-mana untuk memerhatikan dan menghisab perbuatan kita."Inilah bentuk manusia yang perlu kita lahirkan dari sekolah. Bukan lahirkan pelajar yang lulus periksa sahaja."
Dalam ceramah berkenaan beliau turut menekankan kepentingan al-Quran dalam kehidupan manusia. Dengan mengungkapkan kata ulama terkenal, Dr Yusuf Al-Qaradawi, katanya barang siapa tidak mendekati al-Quran maka dia bagaikan menjauhkan diri dari Allah.
Dalam keadaan bagaimana sekalipun dan apapun masalah yang dihadapi kembalilah kepada al-Quran. Apabila kita mendekati al-Quran termasuklah kita dalam golongan manusia yang inginkan kebaikan. Jika jauh dari al-Quran bererti jauh dari kebaikan