Monday, July 5, 2010

Jangan mudah berputus asa

Dalam menjalani kehidupan dunia sebagai manusia pastinya telah, pernah, dan akan berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian, cabaran, masalah, kesulitan, atau kegagalan. Itulah hakikat manusia yang hidupnya pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Apabila kita menyedari inilah hakikat kehidupan, maka kita tidak seharusnya berputus asa atau kecewa apabila kita menerima kegagalan atau tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan walaupan kita telah berusaha.

Pegangan aqidah menetapkan bahawa Allah s.w.t sahaja yang berkuasa untuk menentukan sesuatu perkara sedangkan manusia hanya berusaha. Penetapan kejayaan bukan ditangan manusia, kerana sekiranya kejayaan itu ditangan manusia sudah pasti tidak ada orang yang gagal didunia.

Ujian yang dihadapi berbeza antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Ada yang diuji dengan kegagalan dalam sesuatu perkara, ada yang diuji dengan penindasan dan masalah, ada yang diuji dengan kebaikan, kekayaan, kemiskinan dan bahkan ada juga yang diuji dengan kesalahan, dosa-dosa, dan sebagainya.

Allah s.w.t melarang kita dari berputus asa. Allah menyatakan dengan jelas dalam Al-Quran bahawa sifat putus asa bukanlah sifat seorang Muslim. Seorang Muslim adalah seorang yang tidak mengenal erti putus asa dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara.Jika kita pernah gagal, ini tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya. Persoalan yang penting bukanlah bagaimana kita akan gagal tetapi persoalannya adalah bagaimana kita akan mengendalikan dan berhadapan dengan kegagalan tersebut.

Bagi mengelakkan perasaan kecewa dan putus asa atas kegagalan yang di alami:

*
Sentiasa ingat bahawa setiap ujian yang menimpa adalah untuk menuntut kita untuk menjadi yang lebih baik.
*
Sesuatu yang penting dalam urusan kita ialah usaha yang kita lakukan, bukan hasil usaha kerana hanya Allah s.w.t yang menentukan hasil usaha yang kita lakukan. Walaupun kita tidak berjaya kita tetap mendapat ganjaran pahala dari Allah s.w.t
*
Sentiasa berdoa memohon pertolongan Allah dalam segenap hal dan bertawakal kepada Allah.
*
Bersabar dan sentiasa memikirkan peluang dan apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan tersebut dan bukannya dengan bereaksi dengan emosi dan hawa nafsu.
*
Berfikiran positif, merasai setiap kegagalan ada hikmahnya disebaliknya.
*
Sekiranya doa yang kita mohon masih belum dimaqbulkan, sentiasa bersangka baik kepada Allah s.w.t dan sentiasa terus berdoa dan menghampirkan diri kepada Allah kerana Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk hambanya.



Justeru itu ,kita Jangan mudah putus asa.